Thursday, March 7, 2019

WANG Dan KITA

WANG dan KITA

Wang Ringgit

Ramai orang berkata, wang atau duit bukanlah segala-galanya. Tetapi jangan pula dilupakan bahawa tanpa wang, segalanya akan menjadi sukar. Tanpa kita sedar, ada orang yang telahpun menjadi hamba wang.

Banyak perkara dikorbankan dalam usaha mencari wang, sehingga terpaksa mengorbankan orang-orang yang ada disekitarnya demi mengejar wang. Orang begini hidup bertuhankan wang.

Sebenarnya wang bukanlah perkara yang terikat dengan sesuatu. Wang mempunyai kesan yang dapat mengubah sesuatu yang lain. Kesan boleh ubah ini adakalanya membawa kepada hal yang baik juga kepada kesan yang tidak baik. Wang boleh menyebabkan wujud rasa iri, bakhil, riak dan ujub yang lahir dari ketidakadilan dalam mendapatkannya.
Ada orang yang mempunyai peluang tinggi untuk mendapat wang yang lebih banyak sedangkan dia telah pun mempunyainya dalam nilai tinggi manakala ada orang yang bermati-matian dalam mengecap sedikit kesenangan dan bertungkus lumus mencari wang namun hidupnya hanya cukup makan.


Laman Web: Top Loan Review
Whatsapp: Semak Kelayakan

Pengaruh Wang
Salah satu penyebab yang membuatkan hidup kita mencapai kebahagiaan ialah persahabatan yang tulus. Sahabat yang sebenar-benar sahabat selalu ada disaat kita memerlukan pertolongan. Akan sentiasa ada dalam susah dan senang kita. Bolehkah kita membayar seseorang untuk menjadi sahabat kita atau membayar seseorang sewaktu kita memerlukan pertolongan. Ini adalah suatu perkara yang pastinya sangat mustahil.
Apa kaitan nilai persahabatan dengan wang? Wang sangat mempengaruhi kualiti hasil pekerjaan seseorang dalam bidang tugasnya. Setiap pekerjaan memerlukan satu kerjasama yang ikhlas dan meyakinkan. Namun ada juga jenis pekerjaan yang memerlukan kualiti daya kreativiti yang tinggi tidak mengutamakan wang untuk mencapainya. Dalam dunia pekerjaan dan perniagaan, unsur-unsur kesederhanaan, pekerja yang rajin, bekerjasama dalam berpasukan selalunya akan mendapat imbuhan yang lebih tinggi.

Pengaruh Wang Dalam Pendidikan
Di Malaysia, sekolah rendah dan menengah pendidikan adalah percuma. Namun terdapat ramai murid dan pelajar yang masih kurang berminat membaca. Tambahan pula dengan pengaruh gadjet yang semakin berkembang. Apa pengaruh wang dalam pendidikan. Ada program yang memberikan hadiah dalam program-program bacaan diwujudkan di sekolah-sekolah. Hadiah yang diberikan bukan berbentuk wang tetapi ia juga harus dibeli. Jadi, dalam usaha menanamkan minat membaca ini, wang turut memainkan peranan.
Wang juga dapat mengubah nilai benda yang disentuhnya dan ianya termasuklah dalam membaca buku. Seandainya budaya memberi hadiah ini disalah erti oleh anak-anak kecil, baca buku dapat hadiah, mereka tidak lagi dapat menikmati erti bacaan buku itu. Pengeluaran wang seperti ini akan mengaburi erti sebenar dalam pembelajaran.

Ketidak-adilan dan Rasuah
Wang yang disalah ertikan sebagai sesuatu yang amat berkuasa akan mencipta banyak ketidakadilan. Mereka-mereka yang memiliki wang yang banyak akan membayar sesuatu dengan harga yang lebih tinggi sehingga mereka dapat memiliki keperluan yang lebih hingga berlebihan.

Begitu juga sebaliknya. Mereka yang kurang berkemampuan akan sentiasa tidak dapat memiliki keperluan itu. Jika pola hidup begini berterusan, baik dibidang pendidikan, politik atau pun ekonomi, akan terciptalah satu dinding batas sosial yang tinggi. Jurang kehidupan yang sangat berbeza seperti yang berlaku di beberapa buah negara dimana jurang antara miskin dan kaya sangat berbeza.

Wang memainkan peranan utama dalam unsur rasuah. Rasuah bermakna penurunan nilai sebenar daripada apa yang telah kita usahakan. Apabila kita membantu seseorang lalu kita beranggapan bantuan itu sesuatu yang bernilai, dan dibayar pula, nilai tindakan itu akan terus berubah. Nilai kita dalam memberi bantuan itu telah disalah erti sebagai rasuah kepada bantuan. Ikhlas dalam memberi bantuan akan hilang kerana telah musnah oleh nilai wang.

Wang boleh menyebabkan godaan yang hebat seandainya mendapatkan wang itu dengan jalan yang salah. Ada negara yang menjadikan wang sebagai punca kuasa, wang telah melenyapkan nilai kemanusiaan dan wang juga mengundang perlakuan rasuah yang sangat hebat. Segalanya perlu dibayar untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan sedangkan itu tidak perlu. Jika sesebuah negara dilanda masalah rasuah, seluruh masyarakat akan menerima akibatnya.

Wang Sebagai Pegangan
Dalam mengukur sesuatu dari nilai ekonomi, cara berfikir sesetengah masyarakat telah melenyapkan nilai murni kemanusiaan. Wang boleh menjadi penyumbang utama kepada permasalahan tersebut. Kedamaian dan kemakmuran dalam hidup bermasyarakat lenyap lantaran godaan nafsu kerana wang. Dalam politik beberapa buah negara yang menjadikan wang sebagai pegangan utama, masyarakat di sana dan juga pemerintahnya tidak lagi berkuasa dalam menyekat gelombang pengaruh kekuatan kuasa wang.

Untuk mengumpul pendapatan sebanyak-banyaknya, pengusaha-pengusaha syarikat yang besar tidak lagi memikirkan nilai-nilai kemanusiaan.  Ketika nilai kemanusiaan ini mulai lenyap, hanya kerana wang telah menjadi pegangan utama dalam hidup, masyarakat juga akan hilang nilai kemanusiaan. Tiada lagi perasaan untuk sama membantu. Setiap ahli masyarakat yang berpegang kepada pentingnya wang ini akan saling pijak memijak untuk naik.

Wang dan Krisis Hala Tuju Hidup
Dewasa ini dapat kita lihat, masyarakat semakin hilang amalan hidup bermasyarakat yang sihat gara-gara wang. Menanamkan fahaman bahawa wang adalah sesuatu yang seharusnya diagung-agungkan sehingga menenggelamkan semua nilai-nilai murni kehidupan, sepatutnya kita buang. Manusia di zaman ini telah dibutakan oleh fahaman bahawa tanpa wang tiada lagi kehidupan. Ramai yang tidak lagi dapat membezakan wang itu sebagai alat tujuan kehidupan atau menjadikan wang sebagai tujuan utama hala tuju kita.  

Sebenarnya mengikut pandangan Aristoteles, sekitar dua ribu tahun dahulu, wang adalah alat bagi tujuan yang tertentu. Setiap apa yang kita dapatkan dengan bayaran wang hendaklah memiliki nilai yang lebih baik daripada nilai wang itu sendiri. Jika sebaliknya, perlakuan pembelian itu tidak membawa erti yang sepatutnya.

Setiap kali kita membeli sesuatu, biarlah barang itu membawa secebis kebahagiaan yang bernilai lebih tinggi daripada nilai wang yang kita keluarkan dalam urusan pembayaran. Kebahagiaan adalah tujuan yang paling tinggi dalam hidup manusia. Dan biarlah kebahagiaan itu berterusan, bukan hanya kebahagiaan yang sekejap sahaja.

Kita hendaklah meletakkan wang itu sesuai dengan tempatnya dalam waktu kita memikirkan tentang kebahagiaan. Dalam usaha mencapai kebahagiaan yang jitu, bukanlah wang sahaja yang manusia perlukan. Masih ada banyak lagi keperluan-keperluan hidup sampingan. Yang utama ialah hidup dengan berlandaskan nilai murni dan norma kehidupan yang bertata-susila.

Manusia semakin lupa kepada tujuan hidup. Mereka lupa adanya perbezaan diantara alat dan keperluan. Alat telah berubah menjadi tujuan. Wang kini menjadi tujuan utama kehidupan dimana akhirnya akan merosakkan keseluruhan aturan hidup sama ada dari segi peribadi ataupun hidup bermasyarakat.

Disaat wang menjadi tujuan, ia akan sentiasa dianggap sebagai keperluan utama. Apa yang menakutkan ialah, keperluan ke atas wang ialah ianya sentiasa tidak dapat memenuhi kehendak. Seberapa besar pun pendapatan seseorang itu, ia tidak akan pernah cukup. Ini disebabkan oleh hilangnya hala tuju kehidupan yang berkait dengan wang. Seandainya pemikiran yang tidak logik dalam menilai wang ini menjadi hala tuju, akan hilanglah tujuan yang murni. Keperluan ke atas wang akan menjadi tiada batasan dan manusia akan menjadi semakin rakus dalam mengejar wang.

Wang dan Ketuhanan
Wang dalam masyarakat moden telah menjadi sesuatu yang tidak lagi dapat dikawal dan mengakibatkan manusia yang dahulunya menguasai wang telah pun terbalik dan wang yang menguasai manusia. Wang seakan-akan menjadi tuhan kepada sesetengah manusia dan masyarakat sejagat. Wang yang menentukan apakah tujuan hidup masyarakat. Semakin sempurna nilai wang sebagai alat tukaran kepada sesuatu benda atau perkara, semakin ia menjadi sesuatu yang sukar dikawal. Dan semakin pula ia menjadi sesuatu yang sangat diagungkan. Wang kini bukan lagi sekadar sekeping kertas atau sekeping syiling. Ia telah menjadi sesuatu yang sangat abstrak dan sebenarnya sangat jauh dari capaian tangan manusia secara fizikalnya.

Wang dan Hubungan Sesama Manusia
Wang dilihat sebagai satu senjata yang dapat menghancurkan nilai-nilai sosial masa kini. Ia juga dilihat sebagai penentu had batas hubungan sesama manusia. Dengan adanya wang, hidup akan menjadi makmur dan bahagia. Itu yang sepatutnya berlaku. Tetapi kini, wang telah meluluhkan hubungan sesama manusia. Waktu perasaan sayang dan persahabatan telah bercampur dengan nilai wang, nilai murni dalam sesuatu hubungan itu menjadi sangat rendah nilainya. Tiada lagi keikhlasan satu-satu hubungan itu setelah wang menjadi tapak sandarannya.

Kesimpulan
Masyarakat hendaklah sedar bahawa wang itu tidak pernah kekal pada satu tahap yang bersih tanpa kita sendiri membersihkannya. Wang membawa pengaruh besar dalam kehidupan. Ia boleh menjadi satu bentuk motivasi, insentif, malahan sebagai harga sebuah pekerjaan. Tetapi pula, wang juga boleh menjadi pemusnah nilai kemasyarakatan.
Wang itu hendaklah kita tempatkan di kedudukan asalnya iaitu menjadi pemangkin kepada usaha dan kerja. Jadikan wang sebagai alat dalam tujuan hidup manusia yang lebih tinggi iaitu mencapai kebahagiaan dan memenuhi keperluan hidup. Berfikirlah dengan akal sihat dalam menentukan dimana harus kita tempatkan wang itu dalam hidup. Adakah wang sebagai alat atau adakah kita yang diperalatkan oleh wang… fikirkanlah.