Thursday, March 7, 2019

PINJAMAN DAN PENGAMBILAN KEUNTUNGAN DARIPADA PINJAMAN


Pinjaman dan pengambilan keuntungan daripada pinjaman

Salam sejahtera. Artikel ini akan membahaskan satu perkara yang menjadi perkara utama dalam kehidupan masyarakat kita. Pinjaman dan pengambilan keuntungan daripada pinjaman.



Selain itu, ianya juga mencakupi huraian berkaitan pengertian, dan undang-undang akta berkaitan pinjaman.

Pengertian pinjaman ialah memberikan satu kesepakatan dalam urusan peminjaman antara individu dan pihak perbankan, koperasi atau individu lainnya dan termeteri perjanjian dalam urusan bayar balik dalam tempoh yang telah dipersetujui. Manakala menurut undang-undang ahli Fiqah pula, pinjaman ini bermaksud:

  1. Mazhab Hanafi: Pinjaman adalah apa yang dimiliki oleh seseorang, diberikan kepada orang lain kemudiannya dikembalikan semula dalam baik dan sempurna.
  2. Mazhab Maliki: Pinjaman adalah dari sesuatu yang berharga untuk pembayaran kembali, tiada perbezaan atau yang setimpal dengannya.
  3. Mazhab Hambali: pinjaman adalah bayaran wang kepada seseorang yang akan mendapat manfaat dengan pulangan yang sesuai dengan pinjamannya.
  4. Mazhab Syafie: Pinjaman adalah memindahkan hak milik sesuatu barang kepada seseorang yang lain, dan ianya perlu dibayar semula kepada pemberi pinjaman.
Laman Web: Top Loan Review
Whatsapp: Semak Kelayakan

Pinjaman juga dapat dimaksudkan sebagai “penyediaan sejumlah wang, atau tuntutan keperluan yang dapat disamakan dengan satu persetujuan yang diakui antara peminjam dan pemberi pinjaman. Setelah perjanjian termeteri, peminjam mempunyai kewajiban pula untuk membayar semula pinjaman berserta jumlah faedah yang telah pun dipersetujui. Pembiayaan pinjaman menurut koperasi, perbankan atau institusi pinjaman ialah sejumlah dana yang dikeluarkan iaitu dipinjamkan kepada peminjam dan ianya wajib dikembalikan dalam jumlah utama iaitu pokok pinjaman berserta bunga atau faedah pinjaman.

Pengambilan keuntungan

Setiap perniagaan mementingkan keuntungan. Begitu juga dalam urusan perniagaan pinjaman ini. Keuntungan bermaksud hasil faedah daripada sesuatu proses kerja yang telah dilaksanakan. Pengambilan keuntungan juga bermaksud mendapatkan sesuatu laba daripada pinjaman dengan kadar yang paling maksimum. Mendapatkan keuntungan dalam apa juga perniagaan merupakan satu perkara yang dibenarkan, sah disisi undang-undang selagi ianya diatas landasan yang betul. Dalam dunia perniagaan, semua yang terlibat ingin mendapatkan keuntungan sebanyak mungkin. Kerana itu terdapat akta dan undang-undang yang ditetapkan dalam bidang perniagaan pinjaman ini.

Pengambilan keuntungan boleh jadi berbeza selaras dengan jumlah pinjaman, tempoh bayaran pinjaman dan kadar faedah semasa. Peminjam dan pemberi pinjaman seharusnya sepakat dan saling memberikan maklumat yang jelas dan nyata dalam proses awal perjanjian. Pengambilan keuntungan hendaklah seimbang dengan jumlah pokok pinjaman yang akan diserahkan kepada peminjam dan ianya sesuai dengan jumlah yang dilaburkan oleh peminjam.

Pengambilan keuntungan bagi kedua-dua belah pihak seharusnya dilakukan dengan perbandingan tertentu. Peminjam akan mendapat keuntungan daripada jumlah pinjaman, kadar bayaran balik dan tempoh masa yang tidak membebankan. Pemberi pinjaman pula mendapat keuntungan daripada jumlah pelaburan pinjaman dan kadar faedah pinjaman.

Undang-undang dan Akta Berkaitan Pinjaman

Kerajaan kita telah memperkenalkan beberapa akta dan undang-undang dalam setiap urusan perniagaan berunsurkan pinjaman. Ianya sebagai langkah dalam menjaga kepentingan pengguna dan juga dalam usaha membanteras aktiviti pinjaman wang yang tidak berlandaskan undang-undang. Rang Undang-Undang Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan 2010) yang akan diwartakan kelak diharapkan dapat menjamin peminjam-peminjam tidak terjebak ke dalam kancah pemiutang yang kejam. Di bawah pindaan baru ini nanti, adalah menjadi satu kesalahan bagi orang yang membantu pemberi pinjaman wang dengan tidak mempunyai lesen.

Mana-mana mereka yang didapati dan disabitkan kesalahan dalam menjalankan perniagaan haram itu termasuklah mengiklankan perkhidmatannya, boleh didenda sehingga RM1 juta dan terkandung dalam pindaan Seksyen 5 akta itu. Hukuman asal bagi kesalahan di atas adalah denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, manakala bagi kesalahan kedua boleh juga dikenakan sebatan.

Bagi kesalahan melakukan gangguan dan ugutan kepada peminjam pula, Seksyen 29B dipinda akan membawa hukuman denda sehingga RM250,000 berbanding yang asal RM100,000 dan juga boleh dikenakan hukuman penjara yang diubah dari 15 bulan kepada tiga tahun.

Dua seksyen baru iaitu Seksyen 27A dan 27B akan dimasukkan dalam rang undang-undang berkenaan iaitu mengenai larangan kepada syarikat peminjam wang berlesen dan haram daripada menggajikan ejen yang bertindak sebagai wakil syarikat mereka.

Berdasarkan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) Pindaan 2011, Seksyen 17 (A), yang menyatakan kadar faedah yang dibenarkan bagi pemungutan keuntungan perniagaan pinjaman wang ialah 12% setahun bagi pinjaman bercagar dan 18% bagi pinjaman tidak bercagar. Bagi pemberi pinjam wang yang didapati melakukan kesalahan di Seksyen ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 20,000 atau penjara 18 bulan atau kedua-duanya sekali.

Pemberi pinjaman juga harus mematuhi Peraturan 10(1) Peraturan-peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Perlesenan) 2003 dimana terdapat dua borang yang perlu diisi dan dipatuhi iaitu Borang Perjanjian Pinjaman Jadual J bagi pinjaman tanpa cagaran dan Borang Perjanjian Pinjaman Jadual K bagi pinjaman bercagar. Borang perjanjian tersebut juga hendaklah diaku saksi di hadapan seorang Peguambela atau Peguamcara di Mahkamah Tinggi atau seorang pegawai daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang atau Pesuruhjaya Sumpah atau Jaksa Pendamai atau Pegawai Daerah, atau orang-orang yang dilantik oleh Menteri untuk berbuat sedemikian.

Penutup

Diharapkan artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu pengguna dalam mengenali dan memahami pengertian pinjaman juga mengetahui undang-undang dan akta dalam perniagaan pinjaman terutama pinjaman yang melibatkan kewangan.