Thursday, March 7, 2019

MENGENAI PINJAMAN BERLESEN EKSPRES


Pinjaman Berlesen Ekspres

Syarikat pinjaman berlesen

A. Syarikat Pinjaman Wang Berlesen: Kenali kesahihannya

Seperti cendawan tumbuh dimusim hujan. Kita dapat lihat betapa banyaknya syarikat pinjaman ini di sekitar kita. Ada kalanya dalam satu blok bangunan, terdapat dua atau tiga syarikat-syarikat begini. Mengapa ini berlaku? Jika tiada permintaan, pasti syarikat pemberi pinjaman ini tidak wujud.

Pemberi pinjaman berlesen ini semakin berkembang pesat. Jika dulu, pemberi pinjaman begini hanya dapat kita ketahui melalui tampalan iklan dan selitan risalah di wiper kereta atau diletakkan ke dalam peti surat sekitar kawasan perumahan.

Mengapa kita perlu khuatir atau perlu ambil berat akan hal ini? Akan ada yang berkata, dalam hal pinjaman ini, tepuk dada tanya selera. Sebagai ahli komuniti masyarakat yang mementingkan kemakmuran dan keamanan, perkara yang melibatkan pinjaman bukan melalui institusi perbankan yang sah ini, kita patut peka.

Seperti dakwaan Persatuan Keselamatan Pengguna (PKP) Kuala Lumpur, dalam petikan artikel yang bertajuk 'Syarikat Pinjaman Berlesen Menipu' bertarikh 21 April 2012 Utusan Malaysia, terdapat syarikat pinjaman berlesen ini yang mengenakan kadar faedah yang agak tinggi.

Kadar faedah 6 hingga 30 peratus sebulan adalah kadar yang bakal membuatkan peminjam terjerat seumur hidup jika tidak mampu untuk meneruskan bayaran balik pinjaman sedangkan menurut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) Pindaan 2011, Seksyen 17 (A), kadar faedah yang dibenarkan adalah 12 peratus setahun bagi pinjaman bercagar dan 18 peratus bagi pinjaman tidak bercagar.

Sebelum membuat sebarang urusan dengan syarikat-syarikat yang menawarkan pinjaman wang, sama ada bercagar atau tidak, sila pastikan pemohon pinjaman memahami dan meneliti beberapa perkara seperti berikut:

1. Premis dan tempat bagi urusan permohonan pinjaman hendaklah di premis perniagaan yang berdaftar dan semestinya bukan di rumah kediaman.

2. Lesen pengusaha urusan pinjaman dipamerkan dan terlihat dengan jelas.

3. Pinjaman yang bercagar kadar faedahnya ialah 1 peratus sebulan atau 12 peratus bagi tempuh setahun pinjaman manakala bagi pinjaman tidak bercagar pula ialah 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun. Bagi jumlah amaun faedah yang dikenakan pula hendaklah tidak melebihi jumlah pinjaman pokok.

4. Pemohon juga hendaklah memastikan setiap tawaran iklan dalam bentuk risalah, papan iklan, atau kad-kad perniagaan mestilah mengandungi nama syarikat yang jelas, nombor lesen perniagaan, kadar faedah pinjaman, alamat syarikat yang lengkap, jelas dan dipastikan kawasan yang betul serta nombor telefon yang aktif.

5. Perjanjian disediakan mengikut format yang ditetapkan di bawah Akta dan ianya hendaklah di akusaksi sewajarnya dan disetemkan. Peminjam juga berhak untuk mendapat satu salinan lengkap dokumen perjanjian yang dibuat.

6. Setiap pinjaman hendaklah dibayar balik mengikut persetujuan awal semasa akujanji dilakukan. Bayaran seharusnya dilakukan secara tunai di syarikat pinjaman dan resit bayaran hendaklah dikeluarkan. Ini kerana ada syarikat pinjaman wang memegang kad pintar bank dengan alasan memudahkan urusan peminjam dan tidak perlu peminjam berulang ke syarikat setiap bulan.

Kementerian mengambil berat dan pemantauan berterusan keatas syarikat pemberi pinjaman ini dalam usaha membendung salah laku dari beberapa perkara iaitu:
  • Mengenakan faedah tinggi dan melampau
  • Pinjaman yang diberikan tanpa resit yang sah
  • Tiada bayaran tersembunyi yang bakal membebankan peminjam.
  • Tiada unsur ugutan dan salah guna kuasa 
Mengikut Akta 400 syarikat pemberi pinjam wang yang dilesenkan perlu mematuhi segala peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan. Jika pemohon berasa telah tertipu dengan beberapa peraturan di atas yang tidak dipatuhi oleh syarikat pinjaman wang, pihak kementerian bersedia untuk membantu peminjam pada bila-bila masa.

Aduan salah laku syarikat boleh disalurkan kepada badan-badan berkanun yang tertentu. Selain itu, masyarakat perlu lebih prihatin berkaitan hak mereka terhadap apa juga perkhidmatan mahupun urusan pinjaman yang ingin dilakukan dan perlu lebih bijak dalam menentukan hala tuju kehidupan..

B. Mengapakah syarikat pinjaman berlesen menjadi pilihan?

Mengapakah syarikat pinjaman berlesen menjadi pilihan utama kepada individu yang terhimpit dengan masalah kewangan? Umum mengetahui masalah yang melibatkan pembiayaan kewangan semakin menjadi salah satu masalah utama dewasa ini. Beban ekonomi membuatkan masyarakat mencari pelbagai cara untuk keluar dari kemelut kehidupan yang mencengkam.

Menjalankan pelbagai jenis perniagaan menjadi salah satu cara untuk menaikkan taraf hidup. Jika individu tersebut sememangnya mempunyai simpanan, tidak menjadi masalah untuk memulakan perniagaan. Bagaimana pula dengan individu yang tiada bekalan simpanan.

Individu ini akan cuba membuat pinjaman daripada institusi kewangan yang menawarkan pinjaman individu. Namun atas syarat-syarat yang membuatkan individu ini gagal dalam urusan pinjaman, apa lagi jalan yang boleh dilakukan. Kegagalan mendapatkan pinjaman bank ini mungkin atas beberapa faktor. Antara faktor utama ialah:
  • nama telah disenarai hitam
  • nama sudah di dalam senarai pemiutang tegar
  • komitmen luar yang tinggi
  • kelayakan gaji telah melepasi tahap yang dibenarkan
Apabila perkara-perkara di atas tersenarai pada individu tersebut, sudah pasti membuatkan mereka buntu tambahan pula mereka memerlukan wang dalam masa singkat. Ada individu yang boleh dan dapat meminjam dengan saudara-mara atau rakan tetapi hanya segelintir yang berjaya. Syarikat pinjaman berlesen merupakan alternatif utama jika individu sudah tidak layak lagi untuk memohon pinjaman di bank atau koperasi.

Syarikat pinjaman berlesen memberikan beberapa kemudahan dalam pinjaman sekaligus memudahkan peminjam. Ada beberapa sebab membuatkan pemberi pinjaman berlesen ini menjadi pilihan utama individu yang memerlukan sumber kewangan dalam masa yang cepat.

Antaranya ialah dokumen-dokumen yang diperlukan dalam urusan membuat pinjaman ini sangat mudah. Hanya memerlukan empat atau lima dokumen peribadi dan proses dengan segera dilakukan. Proses mendapatkan pinjaman jika dokumen lengkap hanya mengambil masa satu hari.

Antara faktor lain yang membuatkan syarikat pinjaman berlesen menjadi pilihan ialah individu-individu yang mahu membuat pinjaman ini selalunya memerlukan jumlah wang yang tidak terlalu besar. Syarikat pinjaman berlesen ini pula menawarkan jumlah pinjaman 1,000 hingga 6,000.

Selalunya kiraan untuk kelayakan peminjam ialah 5 kali ganda jumlah gaji bersih pemohon dan pemohon akan berasa yakin dan mampu untuk membuat bayaran balik pinjaman. Pekerja di syarikat tersebut selalunya membantu dan menasihatkan pemohon dalam jumlah pinjaman yang tidak membebankan peminjam.

Walaupun tertulis diiklan mereka menawarkan pinjaman sehingga 50 ribu, tetapi yang datang memohon selalunya meminjam dalam jumlah yang kecil. Tempoh bayaran pinjaman yang singkat iaitu maksimum 60 bulan juga menjadi faktor kenapa pemberi pinjaman berlesen ini menjadi pilihan.

Sehingga kini terdapat lebih 3,000 syarikat pinjaman berlesen yang berdaftar di seluruh negara dan boleh menjadi pilihan peminjam namun peminjam perlulah mengetahui hak mereka agar tidak teraniya kerana terdapat segelintir syarikat yang mengaut keuntungan berlipat ganda melalui penipuan.

Diketahui juga banyak syarikat pinjaman berlesen ini menjalankan kegiatan ala 'Along' seperti mengenakan bunga tinggi dan menipu semasa pengisian dokumen. Peminjam perlulah memastikan syarikat pinjaman berlesen yang menguruskan proses permohonan pinjamannya itu mematuhi kriteria-kriteria tertentu.

Syarikat pemberi pinjam wang berlesen semestinya tertakluk di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan mereka perlu mendapatkan lesen daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terlebih dahulu sebelum memulakan operasi perniagaan. Syarikat tersebut hanya boleh menjalankan perniagaan di alamat yang tertera di dalam lesen yang dipamerkan.

Pemohon pinjaman harus mengetahui bahawa borang yang dilengkapkan semasa proses permohonan hendaklah mengikut Peraturan 10 (1) Peraturan-peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Perlesenan) 2003. Terdapat dua jenis borang yang dibenarkan iaitu Borang Perjanjian Pinjaman Jadual J bagi pinjaman tanpa cagaran dan Borang Perjanjian Pinjaman Jadual K bagi pinjaman bercagar.

Peminjam juga tidak seharusnya mengisi atau menandatangani borang perjanjian yang kosong dalam usaha mengelakkan mereka tertipu dan menanggung kerugian lebih besar seandainya syarikat terbabit melengkapkan borang perjanjian pinjaman itu tanpa pengetahuan peminjam. Peminjam juga hendaklah memastikan bahawa setiap dokumen perjanjian memberi pinjam wang itu diaku saksi di hadapan seorang Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi, seorang pegawai dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang, Pesuruhjaya Sumpah, Jaksa Pendamai, Pegawai daerah atau orang-orang yang dilantik oleh Menteri untuk berbuat sedemikian.

Peminjam juga perlu mengetahui bahawa setiap syarikat pinjaman wang berlesen ini juga tertakluk kepada peraturan tertentu ketika mengenakan faedah atau bunga kepada peminjam dimana mereka hanya boleh mengenakan maksimum 18 peratus setahun manakala bagi pinjaman bercagar faedah yang dikenakan ialah tidak melebihi 12 peratus setahun. Jika diketahui syarikat tersebut mengenakan kadar faedah sehingga 30 peratus sebulan peminjam boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa tertentu.

Tidaklah menjadi satu kesalahan andainya syarikat pinjaman berlesen ini menjadi pilihan sebagai jalan membantu individu yang memerlukan bantuan kewangan cuma peminjam harus peka dan sentiasa berwaspada sebelum dan semasa melakukan proses-proses urusan pinjaman.

C. Pengalaman seorang peminjam.

Helah Terselindung Syarikat Pinjaman

Pengalaman seorang rakan dengan syarikat pemberi pinjaman wang berlesen. Ia bukanlah satu pengalaman manis yang akan menjadi impian orang lain. Pengalaman berurusan dengan satu syarikat ini menjadi igauan buruk yang pasti tidak akan diulangi lagi.

Oleh kerana desakan hidup dan terjebak dengan kemelut himpitan kewangan, Encik AM (bukan nama sebenar) buntu mencari sumber untuk meminjam. Kelayakan gaji sebagai pekerja swasta membataskan kelayakannya untuk memohon sebarang pinjaman peribadi daripada bank atau koperasi. Encik AM melayari pelbagai media sosial yang mungkin boleh membantu dalam menyelesaikan masalah kewangannya.

Pelbagai jenis iklan menawarkan pinjaman dan tawaran-tawaran itu begitu manis dan memberangsangkan. Encik AM mengambil keputusan untuk mencari syarikat pinjaman wang yang ada di sekitar tempat tinggalnya sahaja. Berurusan secara bersemuka adalah lebih meyakinkan, dan dengan ketetapan itu Encik AM mencuba nasib di sebuah syarikat pemberi pinjaman wang berlesen, dimana papan iklan yang terpampang besar dan jelas seperti sangat meyakinkannya untuk terus berurusan.

Encik AM memulakan urusan pertanyaan dan dilayan dengan sangat baik oleh kerani di syarikat tersebut. Jumlah kelayakan pinjaman yang boleh dipohon memberangsangkan dan Encik AM bersetuju. Semua dokumen untuk proses akan Encik AM sediakan dengan segera. Dokumen juga hanya yang asas sahaja, salinan kad pengenalan, slip gaji, penyata bank dan bil utiliti.

Setelah selesai urusan menandatangani dokumen perjanjian dimana dokumen itu tersedia di dalam Bahasa Inggeris sahaja dan penerangan yang diberikan oleh penyelia syarikat tersebut hanya secara ringkas, Encik AM diberi pula penerangan berkaitan kaedah bayaran balik pinjaman.

Jumlah pinjaman yang layak ialah: RM4,000.

Bayaran balik melalui pengambilan daripada akaun gaji dimana kad ATM Encik AM dipegang oleh syarikat dan lebihan gaji akan dimasukkan ke akaun bank Encik AM yang lain. Daripada jumlah RM4,000 yang dipinjam itu pula, syarikat itu mengambil RM300 untuk wang proses.

Bayaran balik pinjaman selama 24 bulan ( 2 tahun) dan dibayar semula dalam 3 sesi:

Sesi 1: 6 bulan pertama; RM775

Sesi 2: Bulan ke 7 sehingga bulan ke 18: RM550

Sesi 3: Bulan ke 19 sehingga bulan ke 24: RM330

Jumlah sebenar setelah genap bulan bayaran dan di sebut sebagai sesi 1.2 dan 3

Sesi 1: Jumlah setelah genap 6 bulan x RM775 = RM4650.

Sesi 2: Jumlah setelah genap 12 bulan x RM550= RM6,600

Sesi 3: Jumlah setelah genap 6 bulan x RM330 = RM1980

Jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman RM4,000 dalam tempoh 24 bulan itu ialah: RM13,230.

Betapa besar perbezaannya. Kesemua maklumat di atas hanya diketahui oleh Encik AM setelah 6 bulan pinjaman dilakukan. Setelah Encik AM mendapat maklumat ini seperti yang dikirakan oleh rakan sepejabatnya, Encik AM mengambil keputusan untuk menyelesaikan pinjaman sebelum tamat tempoh 24 bulan. Penyelia syarikat itu pernah menyatakan semasa diawal perbincangan, pembayaran menyelesaikan pinjaman boleh dilakukan dan peminjam akan mendapat rebat.

Encik AM mengunjungi syarikat tersebut untuk meminta penjelasan berapakah baki pinjaman yang perlu dijelaskan. Betapa terkejut Encik AM kerana penyelia syarikat dengan sombong dan kasar menidakkan kata-katanya sebelum ini. Tiada rebat ke atas pembayaran penjelasan pinjaman awal dan yang membuatkan Encik AM lebih terkejut, jumlah yang perlu dibayar jika ingin membuat penyelesaian ialah RM3375.

Jumlah RM4,650 setelah selesai sesi 1 selama 6 bulan itu nampaknya hanya mengurangkan jumlah pinjaman pokok dalam jumlah yang sangat kecil dan jika dikira, seperti tiada pengurangan pun pada pinjaman pokok. Memandangkan jumlah yang masih besar menantinya dalam tempoh 18 bulan yang akan datang, Encik AM memutuskan untuk tetap membuat penyelesaian pinjaman. Baginya, biarlah rugi sedikit berbanding rugi yang lebih besar yang sedang menantinya. Penyelia syarikat itu memberikan tempoh seminggu untuk Encik AM datang semula dan meneruskan urusan penyelesaian pinjaman.

Sewaktu Encik AM datang semula pada minggu berikutnya, penyelia syarikat dengan gaya seperti samseng besar, bertanya dan mengugut Encik AM. Mengapa mahu selesaikan bayaran, adakah kamu telah meminjam di tempat lain, apa nama syarikat yang kamu pinjam itu dan berbagai lagi pertanyaan berbaur ancaman. Oleh kerana hal sebegini telah diceritakan oleh rakan sepejabatnya sebelum ini, Encik AM datang dengan tiga rakannya dan rakan-rakannya menunggu di tingkat bawah premis syarikat itu.

Memandangkan penyelia syarikat itu semakin kasar dan kasar, Encik AM menghantar pesanan ringkas meminta rakan-rakannya untuk naik ke pejabat syarikat tersebut. Kebetulan pula ada rakan Encik AM dari unit beruniform turut berada bersama rakannya dan dia juga ikut naik. Penyelia pejabat dengan segera menukar nada suara menjadi seorang yang sangat bersopan. Urusan penyelesaian pinjaman juga berjalan lancar dalam suasana yang ceria. Penyelia syarikat itu juga cuba memberikan pujukan agar rakan-rakan Encik AM yang lain membuat pinjaman dengan tawaran dan kaedah bayaran yang menarik.

Setelah Encik AM tiba ke parkir kereta, rakannya dari unit beruniform itu menasihatkan agar Encik AM berhati-hati sebelum mengambil tindakan dalam urusan pinjaman wang sebegini. Encik AM juga dinasihatkan untuk menukar kata laluan kad ATM, menukar kata laluan perbankan internet bank kemasukan gajinya kerana sebelum ini, Encik AM telah dipaksa untuk memberikannya kepada penyelia syarikat pemberi pinjaman itu.

Bukan semua syarikat pemberi pinjaman wang berlesen bersikap seperti syarikat yang berurusan dengan Encik AM ini tetapi tidaklah menjadi satu kesalahan untuk orang lain berhati-hati dalam berurusan. Kenal pasti dan fahami kaedah bayaran dan kadar faedah daripada pinjaman yang ingin dibuat. Anda boleh mengira semasa pihak syarikat memberikan penerangan. Jangan mudah menerima tanpa berfikir panjang. Ini akan lebih menjamin dan membawa lebih banyak faedah kepada kita.