Wednesday, March 6, 2019

MERANCANG KEWANGAN

Merancang Perjalanan Kewangan
Merancang kewangan anda

Setiap manusia akan sentiasa memikirkan bagaimanakah cara untuk mereka mencapai impian-impian tujuan hidup. Memperkatakan tentang impian, semestinya kita tidak hanya memikirkan cara untuk mendapatkannya malah kita juga akan mula melakar peta rancangan yang akan menjadi garis panduan dalam mengecapi semua impian.

Hidup kita umpama satu perjalanan yang panjang sebelum tiba ke destinasi sasaran. Perancangan yang matang dan bijak harus kita ambil dalam menentukan arah tujuan perjalanan itu. Seumpama kita mengatur langkah, ke mana hala tuju langkah, di mana kaki kita patut kita langkahkan dan apakah rancangan yang patut kita ambil jika langkah kita itu menemui jalan buntu. Dalam merencanakan perjalanan hidup ini, semua yang kita idamkan adalah bahagia, stabil ekonomi dan kemajuan yang berterusan. Sukses atau tidak hala tuju langkah itu semuanya berpunca dari rencana awal kita sendiri.

Laman Web: Top Loan Review
Whatsapp: Semak Kelayakan

Kejayaan kita dalam semua perancangan berkaitan kewangan dan keperluan hidup dapat dicapai dengan cara pengurusan kewangan yang bijak, dan yang paling utama disiplin dalam melawan godaan nafsu sendiri. Kita boleh cuba ikuti beberapa langkah dan rancangan pengurusan kewangan itu seperti berikut:

Membuat Rancangan Kewangan
Adalah mustahil untuk kita mengingati semua perkara yang pernah berlaku dalam hidup kita. Kerana itu lebih baik kita mula membuat catatan apa juga perkara yang berlaku terutama yang melibatkan kewangan. Simpan senarai pengeluaran kewangan yang telah kita keluarkan. Bayaran bil utility, pembayaran kenderaan, bayaran rumah jika masih di bawah pinjaman, pembayaran ansuran sewa rumah bagi yang masih menyewa, pembelian barang dan perbelanjaan dapur, juga pengeluaran perbelanjaan seharian. Walaupun jumlah yang dikeluarkan itu sangat kecil, hatta dalam membeli makanan haiwan peliharaan sekali pun, catatkan. Jika kita membelanjakan sejumlah wang dalam urusan kecemasan seperti kenderaan rosak, perlu kita masukkan dalam jurnal perbelanjaan tersebut.

Membuat catatan ini seperti kita menulis diari harian. Biasakan diri dengan rutin ini. Cuba catat semampu yang kita ingat setiap sen yang kita belanjakan pada hari itu. Luangkan sedikit masa untuk kita buat segala catatan dan semakan berkaitan kewangan harian kita. 
Sebelumnya kita sudah pun menetapkan, berapakah perbelanjaan harian yang sepatutnya kita keluarkan. Jika target kita sehari seharusnya berbelanja 20 ringgit, jika ada lebihan, apa yang perlu kita lakukan dan jika terlebih dari target, apa pula langkah yang patut kita ambil.
Dengan menjadikannya satu kebiasaan, kita boleh menyusun atur pengeluaran perbelanjaan kita dengan lebih efisyen. Daripada catatan itu kita sudah mula dapat mengetahui dan memperkirakan perkara-perkara yang patut menjadi keutamaan dalam mengeluarkan perbelanjaan dan apa perkara yang perlu kita kurangkan. Ini bukan pula bermaksud kita menjadi seorang yang kedekut atau bakhil terutama kepada keluarga tetapi menerapkan amalan berjimat dan pentingkan perkara yang utama sahaja.
Selain itu, catat dan rancang apakah impian yang ingin kita miliki setelah kita mencapai usia-usia target yang tertentu. Apa yang ingin kita miliki setelah kita tamat tempoh perkhidmatan. Dan dengan catatan itu, kita juga boleh merancang apa yang ingin kita miliki dalam jangka masa yang pendek contohnya dalam masa sebulan, 6 bulan atau dalam masa setahun.

Ubah Tetapan Fikiran (mind set)
Ramai daripada kita berfikir bahawa bekrja itu adalah menghasilkan pendapatan, dan pendapatan itu nanti akan digunakan untuk perbelanjaan keperluan kita setiap hari. Perkiraan ini hanya akan membuatkan kita melakukan kesilapan awal dan seterusnya kesilapan awal itu menjadi titik tolak kepada kesilapan yang berterusan dan berpanjangan. Kunci kepada kejayaan dalam kehidupan mereka-mereka yang berjaya dalam kehidupan dan antara pegangan jutawan-jutawan dunia ialah kemampuan mereka dalam merencanakan susun atur perjalanan kewangan bagi jangka masa yang panjang.

Jadikan amalan menabung sebagai kebiasaan hidup. Pelaburan yang bijak dalam beberapa bidang tertentu juga boleh menjamin kestabilan ekonomi di masa hadapan. Dalam urusan mengelolakan pendapatan, tidak perlu kita membuat perubahan mendadak. Contohnya dalam usaha menabung, tidak perlulah kita menyekat keperluan yang sepatutnya.

Untuk melaksanakan rancangan ini, kita perlu membuat anggaran mingguan, bulanan juga untuk jangka panjang. Boleh juga kita ujudkan Tabung Hijau, Tabung Merah, Tabung Oren, atau Tabung Ungu jika berkemampuan. Tabung Hijau sangat mudah dilakukan terutama bagi yang berpendapatan sederhana. Setiap kali ada lebihan wang kertas RM5, masukkan ke dalam tabung itu. Untuk lebih menyeronokkan, guna bekas kalis pandang.

Bila tiba tempoh yang telah ditetapkan, kita akan berasa satu keseronokan yang tidak terjangka. Jika kita mampu, adakan dua tabung. Nilai wang yang kecil dan satu dengan nilai yang besar. Catatkan pada tabung untuk tujuan apa tabung itu diadakan. Jika kita ingin bercuti pada hujung tahun, kita mula menabung dengan tabung hijau, hingga tiba tempoh untuk kita pergi bercuti, jumlah yang terkumpul mungkin memeranjatkan kita. Jangan diingat berapa yang telah kita masukkan. Ia akan lebih menyeronokkan. Surprised….!

Beberapa perubahan perjalanan hidup mungkin terjadi dalam masa kita merancang kewangan ini. Kemungkinan berlakunya kecemasan yang tidak diduga harus membuatkan kita sentiasa bersedia. Kita patut menyediakan persediaan tabung darurat.

Disiplin Diri
Semua rancangan hanyalah akan menjadi impian jika tidak dilaksanakan dengan disiplin diri yang tinggi. Kita hendaklah menjalankan rancangan-rancangan berkaitan kewangan ini dengan iltizam yang jitu. Rancangan pengurusan kewangan ini adakalanya boleh berubah dengan pelbagai perubahan situasi. Jika perancangan ini kita lakukan semasa kita masih belum berkeluarga, akan terjadi perubahan setelah kita mempunyai tambahan tanggungan. Jika perancangan kewangan itu sememangnya telah merangkumi kemungkinan-kemungkinan yang bakal hadir, kita dapat menghadapi perubahan itu tetapi jika sebaliknya, kita perlu ada rancangan lain pula. (back-up plan).

Rancangan kita dalam pengurusan kewangan akan sangat berbeza antara pengurusan yang melibatkan hanya diri kita sendiri berbanding perancangan yang akan melibatkan ahli-ahli keluarga kita. Bukan pula bermakna kita tidak perlu berkeluarga, kita hanya perlu lebih berdisiplin dalam merancang pengeluaran pebelanjaan. Rancang tabungan yang melibatkan pembiayaan anak, pendidikan anak dan masa depan keluarga. Tabung Warna dengan tajuk dan tujuan tertentu boleh juga diteruskan. Malahan kita sekarang telah dimudahkan lagi dengan pelbagai cara tabungan dan simpanan untuk anak-anak demi masa depan perbelanjaan pendidikan mereka.

Bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan terjadinya hal-hal kecemasan setelah terjadinya perubahan itu, kita hendaklah tetap dalam landasan rancangan awal seperti sebelum ini. Disiplin dalam menabung, pastikan tabung yang kita adakan itu diisi, bukan hanya ada tabung yang kosong. Disiplin dalam berbelanja, pastikan kita senaraikan semua keperluan penting yang kita inginkan, jangan berbelanja mengikut hawa nafsu dan mengikut orang lain. Disiplin dalam mengatur kewangan, bukan pula kita hanya merancang dan merancang tanpa kita laksanakan.