Wednesday, March 6, 2019

SIHATKAH KEWANGAN ANDA

SIHATKAH KEWANGAN ANDA


Menilai kesihatan, bukanlah hanya pada keadaan tubuh badan anda. Kewangan anda juga perlulah diperiksa tahap kesihatannya.
Kesihatan kewangan menunjukkan bagaimana keadaan kewangan anda ketika ini dan kemampuan anda untuk menyelesaikan segala bayaran keperluan hidup secara teratur.

Kedudukan kewangan anda yang sihat pastinya akan mempengaruhi kemakmuran dan kebahagiaan hidup anda dan keluarga. Dalam memastikan kesihatan kewangan anda dalam keadaan yang sihat atau tidak, semak perkara-perkara berikut:

Laman Web: Top Loan Review
Whatsapp: Semak Kelayakan

1. Pendapatan bersih:
Perkara utama yang perlu anda perhatikan dan beri perhatian dalam mengukur kesihatan kewangan ialah ukuran pendapatan bersih anda setiap bulan. Cara mudah dalam mengukur pendapatan bersih ialah dengan cara mengurangkan penghasilan aset yang dimiliki berbanding jumlah hutang yang perlu dibayar. Semakin bertambah jumlah pendapatan bersih, semakin sihatlah kewangan anda.
Seandainya penghasilan dan aset adalah tetap namun pembayaran hutang semakin berkurang, ini juga menunjukkan kesihatan kewangan anda juga dalam keadaan yang baik. Jika penghasilan bersih anda berkurang, anda perlu menyelidik dengan lebih mendalam mengapakah perkara itu terjadi. Jika penghasilan bersih telah berkurang kerana kenaikan harga dan membuatkan pengeluaran perbelanjaan menjadi lebih, itu bererti anda hendaklah memerhatikan faktor eksternal yang sukar dihindari.
 Jika yang membuatkan perkara penghasilan bersih itu berpunca daripada faktor internal seperti pembiayaan pembelian diluar kawalan atau hutang yang tidak produktif dan pembelian keperluan yang sebenarnya tidak diperlukan, anda hendaklah mula mengubah kebiasaan itu. Bijaklah dalam mengatur dan mengawal pengeluaran perbelanjaan.

2. Perbelanjaan Harian Keluarga
Bagi memastikan aspek kesihatan kewangan dapat dikawal, anda mesti mula mengawal pengeluaran perbelanjaan dalam rumah tangga iaitu perbelanjaan harian keluarga anda. Dalam pengeluaran pembiayaan rumah tangga dan keluarga, ia bukan sahaja mencakupi urusan perbelanjaan dapur namun ia juga meliputi hal-hal bayaran sewaan, pembiayaan pendidikan diri dan anak-anak, bayaran bulanan kenderaan dan harta benda yang menjadi keperluan keluarga.
Begitu juga pembayaran bil-bil utiliti, biaya urus selenggara kenderaan dan urus selenggara rumah. Kewangan anda akan dikira sihat jika pengeluaran perbelanjaan bagi rumah tangga anda adalah 28%-30% sahaja daripada jumlah keseluruhan pendapatan. Seandainya anda dapat mengurangkan lebih sedikit daripada jumlah itu, ia akan menjadi sangat baik tetapi tidak pula bermakna anda harus mengikat perut pula.
Apa sahaja yang menyebabkan pengeluaran perbelanjaan rumah menjadi berlebihan daripada rancangan, jika anda rasakan ianya tidak perlu, anda boleh buang. Catat setiap pengeluaran perbelanjaan dan rutin ini sangat membantu anda dalam menyemak keperluan yang perlu diberatkan atau keperluan itu hanyalah satu keperluan ringan. Anda perlu juga pertimbangkan cara-cara untuk mengurangkan atau menambahkan kemasukan sesuatu keperluan seandainya ia banar-benar tidak dapat dielakkan.

3. Keperluan Berhutang
Hutang yang anda lakukan merupakan salah satu cara untuk menilai kesihatan kewangan anda. Pembayaran keberhutangan dan bayaran ansuran yang ideal ialah seharusnya tidak melebihi 36%-40% daripada jumlah keseluruhan pendapatan. Semua bayaran-bayaran ini termasuklah bayaran kredit kad, bayaran sewa rumah atau jika anda membeli kediaman itu, bayaran semula pinjaman, bayaran ansuran kenderaan dan juga bayaran hutang pinjaman yang lain.
Seandainya jumlah keseluruhan bayaran hutang itu telah melebihi sasaran batasan, anda perlulah mencari satu alternatif yang lain untuk dapat dengan segera mengurangkan kadar peratusan yang dibenarkan itu sekaligus dapat menjamin kesihatan kawangan anda berada ditahap yang memberangsangkan.

4. Simpanan
Dalam memastikan kesihatan kewangan anda ditahap yang terbaik, anda harus mempunyai simpanan yang mantap. Ini untuk dijadikan tampungan didalam situasi yang memerlukan pengeluaran perbelanjaan kecemasan dan juga sebagai simpanan hari tua anda. Simpanan ini seharusnya dapat memenuhi keperluan harian anda sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun atau dua tahun bagi keperluan kecemasan dan musibah yang diluar jangkaan contohnya pemberhentian kerja, kemalangan atau musibah alam seperti banjir atau angin ribut
Simpanan setelah tamat perkhidmatan pula amat perlu untuk persiapan keperluan setelah tamat tempoh perkhidmatan yang telah ditetapkan. Pendapatan semestinya akan berkurang setelah anda tidak lagi berkhidmat atau bekerja. Simpanan anda ini perlu kerana walaupun pendapatan berkurangan ini tidak pula bermaksud pengeluaran perbelanjaan keperluan harian akan berkurangan.
Menyimpan secara rutin menjadi satu amalan yang sangat berbaloi. Anda juga boleh menyimpan dengan pelbagai cara seperti membeli sijil simpanan, simpanan ASB dan ASN, juga anda boleh menyimpan di tabungan haji. Perlu diingatkan bahawa setiap bulan anda harus sangat berdisiplin dalam menyimpan dengan jumlah yang sama atau lebih kerana ini akan menjamin jumlah simpanan anda sentiasa bertambah. Ini sekaligus dapat menjamin kesihatan kewangan anda berada diparas yang stabil.

5. Insuran
Kepercayaan dan penetapan fikiran yang perlu diubah dalam hal insuran ini ialah, insuran bukanlah satu bentuk pengeluaran tetapi yang sebenarnya ia adalah satu bentuk simpanan dan pelaburan kepada sesuatu perkara yang berkemungkinan menimpa pada masa hadapan. Bukanlah kita berharap akan ditimpa kemalangan pula tetapi ini adalah langkah bersedia dan berjaga-jaga untuk masa hadapan. Jangan ada satu perasaan terpaksa untuk mengeluarkan pembiayaan bayaran bulanan bagi skim insuran yang anda ambil. Ada orang yang keberatan untuk membayar ansuran bulanan sebagai jaminan bagi sesuatu perkara yang belum pun terjadi contohnya kemalangan atau kebakaran dimana dua perkara itu sangat kerap berlaku dewasa ini.
Sekiranya tiada simpanan dan tiada persediaan awal bagi menghadapi berlakunya kemungkinan itu, anda akan rasa terpukul dan tersungkur kerana tidak bersedia sedari awal. Mempunyai simpanan insuran bermaksud anda memiliki status kewangan yang sihat. Ada jaminan dimana anda mempunyai ilmu berkaitan kewangan anda diwaktu anda menghadapi waktu yang tertekan.
Sebagai langkah dalam menghadapi dana yang hangus dimana dana itu tidak dituntut, anda boleh memilih untuk mengambil skim insuran yang membolehkan anda menuntutnya dikemudian hari walaupun tanpa tuntutan musibah. Bayaran ansuran bagi skim insuran yang begini memang lebih tinggi tetapi tidak rugi untuk anda bersedia demi kesejahteraan masa hadapan dan usaha menghindari kerugian. Anda juga digalakkan untuk mengambil skim insuran yang merangkumi keluarga anda juga dan insuran pendidikan anak-anak.

6. Hala Tuju Hidup
Apabila timbul pertanyaan sejauh manakah anda berasa bahagia dengan kehidupan anda, jawapannya akan menuju kepada taraf kesihatan kewangan anda. Kesihatan kewangan anda sangat berkait dengan simpanan kewangan, aset milikan dan keluarga yang terjamin masa depan mereka.  
Sejauh mana kesihatan kewangan anda dinilai adalah dengan gaya hidup yang teratur, pengeluaran perbelanjaan yang stabil, pengeluaran perbelanjaan keluarga yang mencukupi tanpa unsur paksaan dan bebanan juga anda dapat meneruskan kehidupan dengan tenang. Anda menyimpan, melabur dan membiaya urusan pinjaman dengan teratur dan tidak pula keperluan keluarga anda terabai. Disinilah kesihatan kewangan anda dapat dinilai.
Had pengeluaran atas tiket keperluan hidup janganlah terlalu berlebihan dan tidak pula perlu sehingga anda hidup dalam kesusahan yang sengaja ditempa. Pengeluaran atas tujuan hidup yang berlebihan hanya akan membuat kesihatan kewangan anda ditimpa penyakit parah. Dan akan juga melibatkan kehidupan anda yang berpanjangan.

Rumusan bagi perkara-perkara yang telah diperkatakan tadi ialah, adalah sangat penting untuk kita bijak dalam mengseimbangkan pelbagai aspek perbelanjaan dan pengeluaran pembiayaan, pelaburan sehinggalah dalam memenuhi tuntutan hala tuju hidup anda dan keluarga.

Dalam mengira dan melihat kesihatan kewangan anda, pastikan juga kondisi kewangan anda sentiasa stabil. Bila terjadinya arus pasang surut dalam pendapatan dan pengeluaran, anda hendaklah sentiasa melakukan muhasabah diri dalam melihat dimana kesalahan dan kelemahan yang telah anda lakukan. Pastikan anda membuat catatan agar kesalahan itu tidak berulang dan semoga kesihatan kewangan anda berada di tahap “tip-top”.